KPM teliti isu gaji siswazah dengan serius

YB Dr. Maszlee Malik Menteri Pendidikan Malaysia

Saya tidak menafikan keluhan dan kegusaran siswazah kita apabila Laporan Bank Negara Malaysia baru-baru ini melontarkan isu gaji permulaan yang rendah.
Di pihak KPM, isu ini diteliti secara serius dan beberapa perubahan sedang digerakkan secara agresif.

Selain daripada melebarluaskan lagi penglibatan industri, kita akan terus memperkasakan sistem yang boleh melahirkan siswazah yang berkualiti, hal ini termasuklah melihat semula kepada semua kursus dan jurusan yang ada; dari segi keperluan untuk memansuhkannya, dan menambah kursus-kursus baru yang lebih bersifat needs-driven.

Yang pasti, kita komited untuk memastikan universiti dan siswazah kita benar-benar mampu untuk menyediakan produk yang terbaik dalam lingkaran industri, dan demi mendepani gelombang Revolusi Industri 4.0.

Dan hal ini selari dengan hasrat YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk memastikan graduan kita ini, berdaya saing di pasaran antarabangsa dengan penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang baik.

Kita juga tidak akan melupakan TVET. Kita telah memastikan program di Kolej Vokasional misalnya memenuhi standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia.

Lanjutan itu, kita juga telah mewujudkan kerjasama antara Kolej Vokasional dan Politeknik, Kolej Komuniti serta Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia dari segi sumber, peralatan, fasiliti, tenaga pengajar dan kepakaran termasuklah penambahbaikan kurikulum.

Tuntasnya, kita akan pastikan TVET benar-benar menjadi pilihan arus perdana, bukan lagi pilihan alternatif semata-mata.

YB Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia

Ucapan pada Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia
Pada 1 April 2019

Sumber : FB Kementerian Pendidikan Malaysia