Tip Pikat Hati Pensyarah!

Boleh dikatakan setiap semester akan ada tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Tugasan merupakan markah tambahan selain markah peperiksaan. Tetapi bagaimana untuk mendapatkan markah tinggi dalam tugasan? Perlu ke pikat hati pensyarah untuk tujuan tersebut? Nak tahu dengan lebih lanjut, berikut disediakan tip-tip untuk kamu dapat markah tinggi dalam setiap tugasan yang diberi.

1. Jangan meniru tugasan orang lain

Semestinya lakukan dan buat sendiri tugasan yang diberi. Jangan upah dan meniru tugasan orang lain. Biarpun susah untuk mendapatkan bahan, belajarlah untuk berdikari. Tanpa buat sendiri, kamu tidak akan tahu ‘ilmu’ yang terkandung di dalamnya. Bagi tugasan berkumpulan, lebih baik diagih-agihkan tugasan masing-masing, lebih cepat dan menjimatkan masa.

2. Fakta betul dan lengkap dengan huraian

Mencari bahan tugasan tidak hanya untuk mengejar kuantiti semata-mata. Paling penting kualiti. Fakta mesti betul dan lengkap dengan huraian serta penggunaan ayat yang mudah untuk difahami supaya dapat menyampaikan maklumat dengan jelas.

3. Kerap berjumpa pensyarah

Tidak ada salahnya jika kamu dan teman-teman kerap berjumpa dengan pensyarah atas dasar untuk bertanyakan hal-hal tugasan. Lagi kerap kamu bertanya dan meminta pandangan, lagi mudah untuk kamu menyiapkan tugasan. Ini kerana secara tak langsung kamu dapat memahami apa ‘isi’ yang patut kamu tulis dalam tugasan tersebut nanti.

4. Mengikut arahan yang ditetapkan

Membuat tugasan tidak semestinya mengikut kehendak sendiri. Kadang kala ada pensyarah telah menetapkan garis panduan dalam menyiapkan sesuatu tugasan. Oleh itu kamu perlu mengikut arahan yang diberikan. Jangan pula kamu memandai mandai membuat keputusan sendiri ye!

5. Tidak langgar tarikh hantar tugasan

Perkara paling penting yang memberi markah pada kamu adalah menyiapkan tugasan dalam tempoh yang diberikan. Lagi baik jika dapat disiapkan lebih awal, kerana kamu ada kesempatan untuk ‘double check’ tugasan tersebut sebelum diserahkan kepada pensyarah. Sekurang-kurangnya jika ada kesilapan, kamu masih berpeluang untuk memperbaiki dan memperkemaskannya lagi.

6. Sesekali belanja pensyarah

Mungkin juga jika ada kelapangan kamu boleh belanja pensyarah minum di kafe berhampiran. Tunjukkan bahawa kamu memang ikhlas belanja pensyarah makan dan katakan tiada niat tersembunyi. Waktu inilah kamu boleh korek rahsia untuk mendapat score yang tinggi untuk tugasan yang diberikan.

sumber : kampus uols