Pencemaran Udara, Politeknik Ibrahim Sultan dan KK Pasir Gudang Ditutup
PASIR GUDANG – Seramai 20,108 pelajar dari 16 buah sekolah di daerah ini terjejas dan diarahkan ditutup akibat pencemaran udara yang semakin merebak ke sekolah-sekolah berhampiran. Politeknik Ibrahim Sultan dan Kolej Komuniti Pasir Gudang juga antara IPTA yang diarah tutup sementara sehingga 27 Jun 2019.
Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan berkata, sekolah berkenaan perlu ditutup bagi memastikan kesihatan murid tidak terjejas selain sebagai langkah keselamatan awal bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa pencemaran udara.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang Khamis lalu, 15 murid dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 di Pasir Gudang dan dua orang dewasa muntah-muntah dan mengalami sakit tekak akibat pencemaran udara.
Sebahagian daripada mangsa tersebut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan segera.
Kejadian tersebut berlaku selepas kira-kira tiga bulan setengah insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang berlaku yang mengakibatkan 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup dan kira-kira 6,000 penduduk terjejas.
Sumber : UTUSAN ONLINE